Pages

Wednesday, 17 August 2011

7 TIPS UNTUK CEMERLANG

Demam peperiksaan sedang melanda calon SPM 2011...semoga pelajar dapat buat yang terbaik untuk peperiksaan percubaan SPM ini. Peperiksaan percubaan ini sangat penting kerana keputusannya nanti boleh digunapakai untuk kemasukan ke IPTA / IPTS juga untuk permohonan semak semula keputusan SPM...Justeru itu,  Unit Penilaian & Peperiksaan ingin berkongsi bacaan dengan semua pelajar (sumber : dari blog lain) tentang 7 tips untuk menjadi cemerlang.... Mari kita baca ...


Info dibawah adalah dari keratan akhbar tempatan.
Harap maklum. Semoga bermanfaat.

Tips ini di ambil dari akhbar tempatan untuk perkongsian kita bersama.

Antaranya ialah :

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.


2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.


3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.


4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.


5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.


6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.


7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.






Sunday, 7 August 2011

KEMASUKAN MARKAH PBS PMR & SPM

Kemasukan markah kerja kursus PMR & SPM untuk semua mata pelajaran yang ada kerja kursus dilaksanakan secara atas talian (online). Tarikh kemasukan kerja kursus ialah pada 1 hingga 15 Ogos 2011 bagi PMR dan 1 hingga 30 Ogos bagi SPM. Adalah diharapkan semua Ketua Pentaksir Sekolah bersedia memasukkan markah dalam Sistem Kemasukan Kerja Kursus yang boleh diakses melalui alamat URL berikut :


1- PMR -  http://apps2.moe.gov.my/kkpmr/


2- SPM - lpm.gov.my


Saturday, 6 August 2011

PERSIAPAN MENJELANG PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR & SPM

Salam...mewakili pihak Unit Penilaian & Peperiksaan saya ingin mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Puasa" khasnya semua warga SMKTTJ yang beragama Islam, semoga Ramadhan kali ini kita dapat meningkatkan amal ibadat dalam mencari keredhaanNya .......semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, Insya Allah.


Selain menunaikan ibadah puasa ada beberapa peristiwa penting yang diuruskan oleh UPP dan akan dihadapi oleh pelajar tingkatan 3 dan 5 di bulan Ogos ni..iaitu:

1- Peperiksaan Percubaan PMR (8-12 Ogos 2011) 
2- Peperiksaan Percubaan SPM (15 Ogos -9 September 2011)
3- Kemasukan markah kerja kursus (PBS) PMR & SPM


Justeru, pihak UPP telah membuat pelbagai persiapan untuk menghadapi peristiwa penting tersebut, antaranya :
1- Taklimat Pengawasan Peperiksaan Percubaan PMR & SPM
Tarikh : 2 Ogos 2011
Masa : 2.00 petang
Tempat : Bilik Konferensi, SMKTTJ
Sasaran : Semua guru sesi pagi

2- Taklimat Kemasukan Markah kerja kursus PMR:
Tarikh : 4 Ogos 2011
Masa : 1.30 petang
Tempat : Bilik Konferensi, SMKTTJ
Sasaran : Semua guru sesi pagi

3- Taklimat Penggunaan Mesin Pengimbas PMR
Tarikh : 4 Ogos 2011
Masa : 2.30 petang
Tempat : Bilik UPP, SMKTTJ
Sasaran : Semua setiausaha peperiksaan

4- Taklimat Peperiksaan Percubaan PMR
Tarikh : 5 Ogos 2011
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Ruang Legar, SMKTTJ
Sasaran : Semua calon PMR

Taklimat oleh SUP PMR
Pelajar tingkatan 3 mendengar taklimat peperiksaan..


Kepada para pelajar tingkatan 3 & 5 ...jangan jadikan bulan Ramadhan untuk malas belajar.... teruskan usaha....banyakkan ulangkaji dan sering berdoa kepada Allah..Insya Allah para pelajar akan berjaya...
Selamat Berjuang anak-anak didikku...